Claudio Ranieri berkata Leicester City tidak berdepan sebarang krisis sambil menyatakan dia tidak memerlukan pemilik kelab untuk melahirkan kepercayaan kepadanya.

Selepas mengejutkan dunia dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, The Foxes berdepan kesulitan untuk mempertahankan gelaran mereka.

Mereka kini menghuni tangga ke-16 -- satu mata dipisahkan dengan zon penyingkiran -- menjelang aksi ulangan pusingan keempat Piala FA di tempat sendiri dengan kelab Liga Kejuaraan, Derby County, pagi esok.

Menjelang pertemuan itu, Leicester mengeluarkan kenyataan menegaskan Ranieri mendapat sokongan yang tidak berbelah-bahagi daripada pihak pengurusan.

"Saya berasakan ini untuk media," kata pengurus berbangsa Itali itu mengenai kenyataan tersebut.

"Saya memahami apa yang pengerusi kelab maksudkan. Mungkin dia mahu menamatkan segala spekulasi. Saya tidak meminta mereka melakukan semua ini. Saya tahu apa yang pengerusi kelab sedang fikirkan.

"Saya memahami bola sepak. Anda harus melaksanakan tugas anda dan saya perlu melakukan tugas saya.

"Apabila anda menang tiga perlawanan, anda akan diangkat sebagai dewa. Kalau kalah tiga kali, anda bukan dewa.

"Ini bukan krisis. Apabila anda gagal mencipta kemenangan, anda akan kehilangan keyakinan, ia adalah normal."

Begitupun, Ranieri tidak mudah panik dan bercadang untuk mengubah sistem permainan pasukannya.

"Pemain masak benar dengan sistem permainan kami. Saya tidak mahu mengubahnya lagi, kami akan bermain dengan formasi 4-4-2."

Ranieri turut mempertahankan tindakan penjaga gol, Kasper Schmeichel, yang menempelak rakan sepasukannya selepas kekalahan 3-0 kepada Manchester United.

Tegas Ranieri, hubungan di kalangan mereka kekal utuh di sebalik kritikan yang dilemparkan.