Leicester berdepan dua masalah utama -- Ranieri

By Amirul Azreen 13 February 2017
Leicester berdepan dua masalah utama -- Ranieri

Pengendali Leicester City, Claudio Ranieri, berkata kelab itu kini berdepan dua masalah utama -- mudah bolos tetapi sukar untuk menjaringkan gol.

Tewas 2-0 kepada Swansea City semalam, menyaksikan The Foxes jatuh ke kedudukan ke-17 liga, satu mata daripada zon penyingkiran.

Perlawanan itu turut menyaksikan Leicester menjadi pasukan penyandang juara pertama yang gagal melakar jaringan dalam enam perlawanan berturut-turut.

Ranieri telah diberikan undi percaya oleh hierarki kelab itu minggu ini, namun tekanan semakin meninggi tatkala mereka semakin hampir untuk disingkirkan musim ini.

"Kami ada dua masalah utama -- kami mudah bolos dan pada masa sama sukar menjaringkan gol," Ranieri memberitahu Sky Sports.

"Kami perlu berbincang antara satu sama lain bagi mencari jalan penyelesaian, kami tidak boleh meneruskan aksi buruk ini.

"Saya mahu kami membuka lembaran baru musim ini menerusi perlawanan ini, tetapi ia kekal sama, sukar dipercayai.

"Kami memulakan aksi dengan baik tetapi dua percubaan mereka berjaya disudahkan. Sukar untuk bangkit setelah ketinggalan dua gol. 

"Saingan liga tetap menjadi keutamaan berbanding Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami mahu kekal dalam Liga Perdana Inggeris."

About Author

Amirul Azreen

Comment