Bekas penjaga gol Arsenal, Jens Lehmann, percaya identiti The Gunners semakin terhakis apabila mengatakan kelab itu "tiada hala tuju."

Kelab London itu menduduki tangga kelima kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, yang bermakna mereka akan beraksi dalam Liga Europa untuk musim ketiga berturut-turut.

Arsenal hanya menandatangani pemain remaja Brazil, Gabriel Martinelli, setakat ini sementara kumpulan penyokong telah bergabung untuk menuntut pemegang saham utama, Stan Kroenke, supaya mengembalikan kegemilangan The Gunners selepas dilihat semakin merudum dalam tempoh sedekad ini.

Lehmann, yang bermain untuk Arsenal di antara 2003 dan 2008 sebelum kembali secara singkat pada 2011, bersetuju dengan pandangan penyokong serta melabel kelab itu semakin tergelincir.

"Kelab dalam situasi di mana tiada siapa pun yang tahu arah yang ingin dituju," katanya.

Lehmann percaya Unai Emery mempunyai skuad yang mengagumkan, namun mengatakan mereka perlu segera memenangi trofi untuk kembali ke landasan sebenar.

"Semua pemain yang mewakili mereka adalah bagus, namun mereka perlu memenangi sesuatu," katanya.

"Mereka berada dalam final Liga Europa musim lalu dan tewas kepada Chelsea. Jelas sekali, adalah lebih bagus sekiranya mereka memenanginya.

"Penamat kempen liga mereka juga mengecewakan. Mereka memiliki peluang untuk menjamin tempat keempat atau ketiga, namun mereka gagal melakukannya."

Arsenal memulakan kempen pra-musim mereka dengan baik dengan melakar kemenangan ke atas Colorado Rapids, Bayern Munich dan Fiorentina.