Zlatan Ibrahimovic berkata masa depannya di Manchester United tidak bergantung kepada kelayakan mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Ibrahimovic, yang menandatangani kontrak selama satu musim pada Julai 2016 dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak bagi musim 2017-18, masih belum memberikan pengesahan untuk kekal di United selepas meledak 26 gol dalam 38 perlawanan.

Ejennya, Mino Raiola, enggan mempengaruhi pemain itu yang meledak gol kemenangan dalam final Piala EFL berdepan Southampton.

"Mari kita lihat apa bakal berlaku," kata Ibrahimovic.

Dia menegaskan kelayakan untuk beraksi di pentas tertinggi Eropah tidak akan menjadi faktor buat dirinya untuk kekal di Old Trafford.

.@Ibra_official's winner is even more epic in slow-mo!pic.twitter.com/OAC0E9U1Wh

— Manchester United (@ManUtd) February 27, 2017

"Saya ke United bukan kerana UCL. Ia tidak bermaksud jika mereka gagal layak beraksi dalam UCL, saya tidak akan melanjutkan kontrak."

Ibrahimovic mengesahkan tiga individu yang meyakinkan dirinya untuk ke United, iaitu anak-anaknya, Maximilian dan Vincent, serta pengendali pasukan, Jose Mourinho.

"Kelab perlu berterima kasih kepada Mourinho kerana beliau telah menghubungi saya untuk membawa saya ke England. Anak-anak lelaki saya juga mahu melihat saya bermain untuk United."

? #MUFC pic.twitter.com/D5Mv6XJhrj

— Manchester United (@ManUtd) February 27, 2017

Pemain berusia 35 tahun itu, yang menikmati musim yang berjaya bersama kelab seperti Inter, AC Milan, Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG), menegaskan dia tidak akan mencemarkan kejayaannya dengan bermain di luar tahap terbaiknya.

"Saya tidak akan menjadi seperti pemain lain, saya akan terus bermain selagi masih mampu menghasilkan keputusan yang positif buat pasukan saya."