Peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, memeterai rekod pembelian termahal kelab dengan menandatangani pertahanan Athletic Bilbao, Aymeric Laporte, selepas memenuhi syarat pampasan bernilai €65 juta (RM315.2j).

Kehadiran pemain yang belum pernah membarisi skuad Perancis itu hangat diperkatakan sejak Pep Guardiola tiba di Manchester pada 2016 dan akhirnya selesai hari ini dengan kontrak sehingga 2023.

Laporte, yang membuat 222 penampilan bersama Athletic akan menyarung jersi nombor 14 di City.

"Saya sangat gembira untuk berada di sini," katanya. "City adalah kelab yang bercita-cita besar dan mereka adalah sebuah pasukan terbaik di Eropah."

Walaupun 12 mata memimpin carta EPL dan mengesahkan tempat ke final Piala Liga (EFL), lewat kebelakangan ini skuad kendalian Guardiola itu kerap terdedah di bahagian pertahanan.

Perlawanan tanpa dibolosi di Cardiff City dalam pusingan keempat Piala FA pada Ahad lalu merupakan rekod bersih pertama mereka dalam tujuh perlawanan manakala Vincent Kompany masih lagi bergelut mengembalikan kecergasan sambil bek kiri, Benjamin Mendy dan Fabian Delph, dilanda kecederaan.

Dengan City tidak dapat bergantung kepada ketua pasukan mereka, ditambah pula dengan Guardiola yang kurang percaya kepada Eliaquim Mangala, maka City memancing Laporte untuk mengukuhkan bahagian pertahanan mereka.

"Kami gembira dapat menandatangani Aymeric," tambah Pengarah City, Txiki Begiristain. "Kami telah menilai pilihan pertahanan yang ada dan dia adalah pemain yang kami kagumi untuk jangka panjang.

"Dengan kualiti dan keupayaannya menggerakkan permainan dari belakang, kami berasakan Aymeric sesuai dengan gaya yang diketengahkan Pep Guardiola."

Laporte, 23, yang telah menghabiskan seluruh kerjayanya di Athletic, dilaporkan memilih untuk tidak menyertai City pada 2016 kerana sedang dalam pemulihan daripada pergelangan kaki yang patah.

Dia terlepas perlawanan LaLiga menentang Eibar minggu lalu di sebalik jurulatih, Jose Angel Ziganda, menyatakan kesediaan untuk menurunkan pemain itu.

Rekod perpindahan City sebelum ini ialah £55 juta yang dibayar untuk mendapatkan Kevin De Bruyne dari Wolfsburg pada 2015 dan dalam masa sama, Guardiola menegaskan mereka tidak akan membayar £100 juta, £90 juta atau £80 juta untuk seorang pemain susulan langkah Alexis Sanchez ke Manchester United dan Virgil van Dijk menyertai Liverpool.