Aymeric Laporte berkata Manchester City meletakkan sasaran untuk "terus berada di puncak" selepas menyempurnakan 'treble' bersejarah dalam saingan domestik dalam musim penuh pertamanya.

Bekas pertahanan Athletic Bilbao itu merupakan pilihan utama Pep Guardiola bagi saingan musim 2018-19 dan sekali lagi diberikan tanggungjawab ketika membelasah Watford 6-0 dalam aksi final Piala FA semalam.

Selepas meraikan kejayaan mereka di Wembley, Laporte mendedahkan objektif City musim depan dan percaya dengan kebolehan pasukan untuk meningkatkan lagi mutu permainan dalam saingan Liga Juara-Juara dan mengekalkan kejayaan mereka untuk masa depan.

"Ia merupakan musim yang terbaik," kata Laporte.

"Kami agak kecewa dengan penyingkiran UCL tetapi bangkit memastikan musim ini berakhir dengan tiga kejuaraan.

"Piala FA adalah yang terakhir musim ini dan saya sangat gembira kerana memenanginya. Kami sekarang boleh melihat kepada musim depan.

"Sememangnya kami mahu kekal di puncak. Kami memiliki skuad yang berkebolehan untuk melakukannya.

"Saya berasakan cabaran sukar menanti kami kerana pasukan lain turut akan berusaha untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL)," ujarnya.

Laporte telah menandatangani kontrak baru Februari lalu untuk kekal bersama kelab hingga 2025 dan dia menjelaskan peluang bekerjasama dengan Guardiola merupakan satu pengalaman yang luar biasa.

"Dia merupakan salah seorang pengurus terbaik dunia.

"Saya sangat gembira bekerjasama dengan Guardiola setiap hari dan ya, Guardiola mahu kami sentiasa mempertingkatkan mutu permainan pada setiap masa."