Frank Lampard berharap pengalamannya sebagai pemain selama lebih sedekad di Chelsea akan membantu perkembangannya sebagai pengurus ketika dia sedang bersedia untuk musim pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas pemain tengah The Blues itu, yang menjaringkan 250 gol sepanjang 13 tahun bersama kelab itu, berdepan perasaan bercampur-baur untuk memulakan tugasnya sebagai pengurus Chelsea selepas meraih satu kemenangan dan satu keputusan seri dalam jelajah Ireland sebelum tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale di Yokohama, malam tadi.

Lampard meraih pujian ramai dalam musim pertamanya selaku pengurus Derby County walaupun gagal membawa pasukan itu ke Liga Perdana selepas tewas kepada Aston Villa.

Pengurus berusia 41 tahun itu berharap untuk membina semula Chelsea yang dipenuhi bakat muda sambil meluahkan perasaan istimewanya untuk melangkah masuk ke pejabat pengurus yang pernah diduduki nama-nama berprofil tinggi seperti Jose Mourinho, Luiz Felipe Scolari dan Carlo Ancelotti.

"Ia perasaan yang baik. Saya selesa untuk kembali ke sini," katanya kepada Daily Mail.

"Ia satu kelebihan kerana sudah mengenali bangunan ini dan wajah-wajah dalam bangunan ini.

"Ia mengurangkan perasaan 'hari pertama persekolahan' buat saya.

"Saya banyak bercakap tentang Jose, tentang kali pertama dia tiba di sini dan kata-kata yang dia berikan kepada saya, keyakinan diri, lebih mengutamakan mental berbanding taktikal dan fizikal.

"Guus Hiddink memberikan kiriman pesanan ringkas kepada saya minggu ini, ia amat baik sekali.

"Mereka adalah pengurus yang saya hormati.

"Saya menghormati kesemua pengurus yang pernah saya ada, termasuk mereka yang saya tidak begitu rapat," katanya.

Lampard turut mendedahkan pejabat pengurus itu merupakan tempat yang tidak mahu didatanginya ketika bergelar pemain.

"Saya tidak banyak ke sana," kata bekas pemain kebangsaan England dengan 106 penampilan itu.

"Saya hanya pergi ke sana jika dipanggil atas apa jua sebab ketika menjadi penolong kapten.

"Saya sentiasa menghormati setiap pengurus.

"Saya cuba untuk tidak menimbulkan masalah dan kaki lima ke pejabat itu bukanlah sesuatu yang anda mahu selalu lalui.

"Namun, itu mungkin tempat saya sekarang," tambahnya.

Chelsea akan meneruskan jelajah Asia mereka dengan menentang Barcelona di Stadium Saitama, Selasa ini.