Kritikan yang diterima Maurizio Sarri dalam menguruskan N'Golo Kante tidak akan menghalang Frank Lampard daripada menggunakan pemain tengah itu dalam peranan yang sama.

Bekas pengendali Chelsea, Sarri, dilihat kerap menggunakan Kante selaku pemain 'box-to-box' berbanding memainkan peranan sebagai pemain tengah bertahan.

Pemenang Piala Dunia itu menyumbangkan empat gol dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu tetapi pemerhati dan peminat menggesa agar dia diletakkan semula di posisi yang membawa kepada persembahan cemerlangnya sewaktu bersama Leicester City dan The Blues.

Lampard menolak gesaan itu apabila menamakan Kante di posisi lebih ke depan sewaktu tewas di tangan Liverpool dalam aksi Piala Super UEFA, Rabu lalu dan percaya Sarri melakukan perkara yang tepat.

"Terdapat perbincangan yang kerap diperkatakan tahun lalu dan saya memerhatikan dari luar," kata Lampard.

"Bagi saya, apa yang penting adalah memiliki kebebasan dan tiada siapa terikat dengan sesetengah struktur.

"Saya rasa kami melihat elemen itu ketika menentang Liverpool di mana pemain bebas menggunakan kemampuan yang ada.

"Perancangannya dia harus memenangi bola sama seperti pemain lain dan tidak memerlukannya untuk berada di depan benteng.

"Dia juga perlu membawa bola ke depan, mengetuai kawasan tengah dan mendapatkan bola naik ke atas.

"Itu kebebasan yang saya mahu berikan kepadanya," tambahnya.

Chelsea bakal berdepan bekas pasukan Kante, Leicester, dalam aksi liga esok di mana ia bakal menjadi perlawanan pertama di bawah kendalian Lampard di Stamford Bridge.