Frank Lampard percaya Chelsea mempunyai kualiti untuk menampung kehilangan Eden Hazard dan harus menamatkan musim dengan kedudukan yang tidak kurang daripada empat teratas.

Walaupun ditugaskan untuk membimbing bakat akademi ke pasukan utama gara-gara penggantungan pendaftaran pemain baru, ketua jurulatih baru itu menyifatkan "keinginan untuk menang" bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan buat pasukan yang dilimpahi bakat yang mampu menyerlah di Stamford Bridge itu.

Ia bermula dengan usaha untuk memastikan kelab itu kekal bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah, cabaran yang semakin sukar selepas pemergian Hazard ke Real Madrid.

Lampard -- yang diberikan kontrak tiga tahun tanpa mengambil kira pengalaman mentahnya dalam bidang pengurusan -- mendakwa lembaga Chelsea tidak menetapkan sebarang sasaran minimum dalam kedudukan liga.

Namun, legenda The Blues itu, yang meninggalkan Derby County untuk mengisi jawatan berkenaan, menjelaskan kepentingan untuk mengekalkan tempat dalam kejohanan itu dalam sidang media pertamanya awal pagi tadi.

"Kami mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara untuk setiap tahun.

"Sudah pasti terdapat saingan besar dalam kelompok atasan liga.

"Kami juga mempunyai skuad yang kuat dengan bakat besar di sini.

"Kami masih belum berkubur.

"Sudah pasti terdapat beberapa faktor.

"Kita tahu tentang larangan perpindahan, kita tahu Manchester City dan Liverpool telah menjadikannya semakin menarik tahun lalu.

"Kami perlu realistik mengenai perkara ini tetapi kami tidak perlu berhenti mencuba kerana Chelsea akan berada di sana," katanya.

Kebanyakan bekas pemain England yang berjaya di Chelsea datangnya daripada era Jose Mourinho, yang memenangi tiga gelaran Liga Perdana, tiga kejuaraan Piala Liga dan satu julangan Piala FA sepanjang dua kali tempoh kendaliannya walaupun dua kali meninggalkan pasukan itu dengan cara yang amat tegang.

Lampard tidak mahu mencontohi sikap biadap pengendali Portugis itu dengan tidak mahu gelaran yang diada-adakan sendiri sambil menjelaskan betapa dia tidak kisah seandainya reputasi besarnya sebelum ini akan tercalar disebabkan peranan barunya itu.

"Saya tidak melihatnya sebagai satu risiko.

"Saya seorang dengan perwatakan yang sukakan cabaran.

"Saya tidak takut dengan kegagalan.

"Saya sudah sedia untuk berdiri dan menerima segala yang akan terjadi," tambahnya.