Frank Lampard mengakui berada dalam dilema untuk memilih penyerang Chelsea selepas Olivier Giroud dikahabarkan akan meninggalkan pasukan itu.

Bekas pemain Arsenal itu tidak menjaringkan sebarang gol sejak Ogos lalu dan bergelut untuk bersaing dengan Tammy Abraham dan Michy Batshuayi dalam merebut tempat kesebelasan utama.

Pengurus skuad kebangsaan Perancis, Didier Deschamps, menyarankan Lampard agar memberikan pemain berusia 33 tahun itu lebih minit permainan kerana ia penting buat pasukannya.

Giroud dikhabarkan akan kembali ke saingan Ligue 1, Januari depan bagi mengekalkan tempatnya di jentera serangan Perancis.

Ketiga-tiga penyerang itu dijangka akan terlibat dengan saingan Euro 2020 musim panas depan, namun Lampard tidak memikirkan perkara itu dan hanya fokus terhadap apa yang terjadi di peringkat kelab.

"Ia sukar untuk saya dan mereka. Saya perlu menjaga setiap pemain dan memilih skuad yang saya fikir terbaik buat Chelsea dan negara mereka," katanya kepada wartawan.

"Saya mempunyai tiga penyerang dan perlu membuat keputusan tetapi saya tidak boleh merungut dengan sikap mereka.

"Ia mungkin kelihatan berbeza dan di situlah anda perlu menjadi profesional. Saya memperolehnya daripada mereka.

"Saya sentiasa berbincang dengan pemain yang berkata mereka tidak mahu lagi bersama kelab ini.

"Kami belum sampai ke tahap itu lagi, jadi ia bukanlah sesuatu untuk dibincangkan buat masa ini," katanya.