Lampard belum terlintas sertai barisan jurulatih Chelsea

By Amirul Azreen 5 March 2017
Lampard belum terlintas sertai barisan jurulatih Chelsea

Frank Lampard berkata dia masih belum membuat keputusan sama ada masa depannya kekal bersama Chelsea, namun mengesahkan kelab itu sedang membantunya dalam mendapatkan lesen kejurulatihan.

Bekas pemain berusia 38 tahun itu bersara daripada arena bola sepak Februari lalu di mana dia meraih tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris, empat Piala FA, Liga Juara-Juara dan Liga Europa bersama Chelsea selepas membuat 648 penampilan di Stamford Bridge.

Pengurus The Blues, Antonio Conte, berkata dia sangat menghormati Lampartd tetapi enggan menjanjikan tempat dalam barisan kejurulatihannya.

Ditanya sama ada Lampard akan menyertai barisan jurulatih, dia memberitahu Sky Sports: "Saya tidak tahu. Chelsea sememangnya sedang membantu saya dan saya bersyukur tetapi ia satu proses yang panjang.

"Buat masa ini, saya akan melibatkan diri dengan program bola sepak di televisyen kerana saya berminat dengan perkara itu. 

"Saya perlu keluar dari zon selesa dan melihat dunia luar, saya bernasib baik kerana berpeluang membuat pilihan, jadi saya enggan terburu-buru."

Lampard mendakwa dia tidak rindukan aksi bola sepak sejak bermain kali terakhir bersama New York City pada November 2016.

"Tidak banyak yang saya rindukan. Saya telah memberikan segala-galanya, saya amat menghargai sumbangan saya," tambahnya.



About Author

Amirul Azreen

Comment