Adam Lallana berpendapat kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Arsenal malam tadi menghadirkan tiga mata yang cukup penting bagi membuktikan mereka kini berada di landasan yang betul.

Roberto Firmino membuka tirai jaringan buat Liverpool dalam tempoh 10 minit pertama sebelum Sadio Mane menggandakan jaringan beberapa minit sebelum berakhirnya babak pertama.

Arsenal bangkit dalam babak kedua apabila Danny Welbeck merapatkan jurang selepas menerima hantaran Alexis Sanchez, namun Georginio Wijnaldum memadamkan harapan The Gunners untuk bangkit dengan gol ketiga Liverpool pada masa kecederaan.

"Tiga mata ini sangat penting," Lallana memberitahu BT Sport. "Ia sama seperti ketika kami melakar kemenangan ke atas Spurs, kami sedar pentingnya untuk bangkit.

"Kami mengecewakan penyokong ketika tewas 3-1 berdepan Leicester City tetapi kami masih ada 11 perlawanan untuk membetulkan keadaan.

"Kami beraksi baik dalam babak pertama, namun persembahan kami berubah dalam separuh masa kedua. Jelas kemasukan Sanchez mengubah keadaan tetapi ia membuktikan kami tidak boleh selesa dengan dua gol.

"Liverpool memiliki skuad yang masih muda, kami kecewa kerana gagal mengekalkan konsistensi sejak Krismas tahun lalu."

Sementara itu, penjaga gol Arsenal, Petr Cech, mengakui mereka kini perlu melupakan kejuaraan Liga Perdana Inggeris ekoran sudah ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

"Kutipan tiga mata masih meletakkan kami dalam perebutan tetapi ketinggalan 13 mata sudah terlalu jauh untuk dikejar. Saya juga tidak nampak Chelsea akan keciciran mata," Cech memberitahu BT Sport.

"Kami perlu menamatkan saingan musim dalam kelompok empat teratas untuk layak ke Eropah."