Pemain tengah England, Adam Lallana, mengetuai senarai empat pemain yang tercedera untuk aksi persahabatan di antara Liverpool dan Napoli di Dublin, hari ini.

Kecederaan paha yang dialaminya semasa pra-musim tahun lalu telah menjejaskan persiapan Lallana dan meskipun dimasukkan untuk menggantikan Mohamed Salah dalam kekalahan 1-3 di pentas final Liga Juara-Juara (UCL) kepada Real Madrid, dia bagaimanapun terlepas tempat dalam skuad kendalian Gareth Southgate ketika England mengharungi temasya Russia 2018.

Pemain berusia 30 tahun itu telah diturunkan sebanyak enam kali dalam perlawanan pemanas badan Liverpool kali ini, begitupun mereka mengesahkan bahawa Lallana bakal diketepikan untuk menghadapi Napoli sebagai langkah berjaga-jaga ekoran masalah pahanya.

Pemain tengah, Marko Grujic, turut terpinggir ekoran masalah hamstring sementara kecederaan pinggul bermakna Joel Matip tidak akan menyertai rombongan itu di samping Danny Ings.

Ings cergas sepenuhnya tetapi hanya akan menjalani sesi latihan di pangkalan Liverpool di Melwood pada hujung minggu ini kerana Jurgen Klopp ingin mengambil kesempatan ini untuk menilai penggempur lain.