Presiden LA Galaxy, Chris Klein, mengesahkan pihaknya berminat untuk mendapatkan khidmat Zlatan Ibrahimovic, namun dia mengakui bekas penyerang Manchester United mahu kekal beraksi di Eropah.

Ibrahimovic menjadi ejen bebas selepas kontraknya tidak disambung United susulan mengalami kecederaan lutut serius, April lalu.

Jose Mourinho dan United telah memberi bayangan pemain berusia 35 tahun itu -- yang meledak 28 gol dalam semua kejohanan di samping membantu kelab itu muncul juara Liga Europa dan Piala EFL musim lalu --mungkin kembali ke Old Trafford bagi musim 2017-18.

Bagaimanapun, Galaxy bersedia membawa Ibrahimovic ke Los Angeles, dengan Klein memberitahu media: "Kami memiliki hubungan yang baik bersama Zlatan dan ejennya.

"Dia menyukai kelab ini dan kehidupan di LA. Kami berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Tetapi buat masa ini, dia mahu kekal di Eropah.

"Pintu kami sentiasa terbuka untuk pemain sepertinya. Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku."

Minggu ini, Galaxy telah mendapatkan khidmat pemain tengah Mexico, Jonathan dos Santos, daripada Villareal dan membawa masuk Sigi Schmid bagi menggantikan Curt Onalfo.