Mohamed Salah telah memberitahu Loris Karius agar mengabaikan kebencian orang ramai di media sosial selepas mempamerkan satu lagi aksi goyah.

Karius hanya mampu menampan lemah bola percubaan daripada Christian Pulisic ketika aksi persahabatan pra-musim berdepan Borussia Dortmund kelmarin sehingga membolehkan Bruun Larsen menjaringkan gol menerusi bola muntah dan melengkapkan kemenangan 3-1.

Kesilapan itu hadir daripada penjaga gol berusia 25 tahun itu selepas turut melakukan kesilapan besar sewaktu Liverpool tewas dalam final Liga Juara-Juara Eropah di tangan Real Madrid, menyaksikan Karius menghadiahkan gol mudah buat Karim Benzema sebelum tampanan kurang kemas sewaktu cuba menafikan rembatan jarak jauh Gareth Bale membawa kepada satu lagi jaringan.

Tidak lama selepas itu, wujud dakwaan bahawa Karius mengalami gegaran otakketika berebutkan bola dengan Sergio Ramos dalam aksi di Kiev tetapi kesilapan terus berlaku ketika pra-musim -- termasuk ketika berdepan Tranmere Rovers.

Karius dilihat mengeluarkan kenyataan menerusi laman Instagram peribadinya: "Buat sesiapa yang gembira melihat kegagalan orang lain, saya kasihankan anda."

Bagaimanapun, Salah menasihatkannya agar mengabaikan segala gangguan serta fokus dalam perlawanan akan datang.

"Kuatkan semangatmu Karius, ia berlaku kepada barisan pemain terbaik. Abaikan sesiapa jua yang mengganggu," ujar Salah.