ARSENAL 1 WEST BROM 0

Walaupun Chelsea mengungguli Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan sembilan mata, Laurent Koscielny menegaskan Arsenal memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memenangi takhta liga musim ini.


Tandukan Olivier Giroud di penghujung perlawanan memberikan kemenangan yang penting apabila skuad kendalian Arsene Wenger mencatat kemenangan 1-0 ke atas West Brom, menyaksikan Arsenal bangkit dengan dua kemenangan berturut-turut.

Walaupun melihat peluang yang tipis untuk memintas pendahulu liga, yang menewaskan Bournemouth 3-0, Koscielny percaya Arsenal sudah kembali menemui rentak permainan mereka.

"Keyakinan akan kembali ketika anda memenangi perlawanan yang penting dan kami harus berusaha untuk memintas Chelsea," katanya.

"Kami menghadapi perlawanan ini dengan tenang dan mencari jalan untuk menembusi gawang gol lawan dan usaha kami membuahkan hasil di penghujung perlawanan."

Koscielny juga memberikan pujian kepada Giroud yang memulakan perlawanan buat pertama kali musim ini.

"Giroud memberikan fokus sepenuhnya kepada pasukan. Kami bukan pasukan yang memiliki 11 atau 18 pemain, terdapat 25 pemain di dalam skuad ini.

"Setiap pemain yang beraksi untuk The Gunners memiliki peranan yang penting kerana akan ada kecederaan dan penggantungan perlawanan yang akan berlaku, setiap pemain harus bersedia untuk beraksi.

"Dia telah memberikan yang terbaik di atas padang. Dia telah berjuang habis-habisan dan menjaringkan gol kemenangan."