Pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny mengalami kecederaan buku lali yang serius dan tidak akan kembali beraksi dalam tempoh enam bulan, menurut pengurus Arsenal yang bakal bersara, Arsene Wenger.

Pemain kebangsaan Perancis itu mengalami kecederaan pada awal aksi separuh akhir kedua berdepan Atletico Madrid di Wanda Metropolitano dan disahkan terlepas saingan Piala Dunia di Russia.

Wenger turut menyifatkan pemain berusia 32 tahun itu bakal terlepas tiga bulan pertama selepas saingan musim baru bermula nanti.

"Koscielny sememangnya kecewa dan telah menjalani pembedahan. Ia bermakna dia akan diketepikan selama enam bulan. Anda tidak akan menyaksikan dia beraksi hingga bulan Disember," katanya.

Pengendali Perancis, Didier Deschamps, mengakui ketiadaan Koscielny menjadi masalah besar untuk juara dunia 1998 itu.

"Ini merupakan tamparan buat Perancis, kecederaan ini ternyata menggugat persiapan pasukan.

"Saya sangat sedih kerana Koscielny membuat persiapan yang rapi untuk Piala Dunia. Saya berharap dia akan kembali sembuh dan kembali beraksi pada masa akan datang.

Aksi terakhir Wenger bersama Arsenal selepas berkhidmat selama 22 tahun ketika berkunjung ke Huddersfield Town.

Spekulasi masih lagi berterusan dalam mencari pengganti Wenger dengan Luis Enrique, Mikel Arteta dan Massimiliano Allegri dilaporkan antara yang dalam radar kelab.