Bekas kapten Manchester City, Vincent Kompany, yakin John Stones akan membuktikan kualiti dan melenyapkan kritikan terhadapnya.

Stones telah memenangi dua kejuaraan liga sejak menyertai City daripada Everton pada 2016, namun kredibiliti jangka panjang bek tengah England itu masih diragui.

Kesilapan dan prestasi tidak konsisten menimbulkan persoalan mengenai kemampuannya selepas berada dalam kesebelasan utama sebanyak 20 kali musim lalu tetapi Pep Guardiola tetap memilih Kompany ketika aksi penting.

Bagaimanapun, Kompany -- yang telah meninggalkan City untuk ke Anderlecht selaku pemain-jurulatih -- mempertahankan pertahanan berusia 25 tahun itu mampu membuktikan anggapan ramai itu salah.

"Saya sering katakan bahawa Stones merupakan salah seorang pertahanan berbakat. Dia mempunyai masa depan yang cerah," katanya.

"Dia telah mencapai pelbagai kejayaan, jadi jangan lupakannya. Dia bukan lagi pertahanan muda yang tidak memiliki pengalaman. Dia adalah pemenang dua kali Liga Perdana Inggeris yang sedang berkembang.

"Satu perkara yang saya harapkan daripadanya adalah konsisten dalam perlawanan dan kecergasan, kemudian dia akan buktikan kepada dunia kebolehannya.

"Akhirnya nanti, jika City memenangi Liga Juara-Juara Eropah atau apa sahaja, dia akan disebutkan dalam kategori berbeza.

"Dia hanya perlu memastikan terus beraksi, menjadi diri sendiri dan akan baik. Saya tidak melihat petanda kelemahan yang perlu saya risaukan.

"Dia hanya seorang pertahanan bertaraf dunia. Jika dia meraih waktu bermain, sudah tentu dia akan selesaikannya."