Kapten Manchester City, Vincent Kompany, hanya beraksi kurang daripada 11 minit apabila dilanda kecederaan sekali lagi ketika pasukannya menewaskan Newcastle United 1-0 dalam Liga Perdana Inggeris di St James' Park, awal pagi tadi.

Pemain pertahanan tengah itu kelihatan terhincut-hincut selepas memulakan perlawanan dan digantikan dengan Gabriel Jesus.

Ia memberi satu lagi tamparan kepada City setelah dia hanya kembali daripada kecederaan otot ketika menang 4-0 ke atas Bournemouth pada Sabtu lalu.

Pemain antarabangsa Belgium itu direhatkan selama dua bulan musim ini dengan masalah betis tetapi tidak jelas sama ada ia adalah kecederaan berulang.

Khabar itu akan menjadi perhatian pengurus Pep Guardiola, dengan pemain pertahanan, John Stones, juga masih diketepikan akibat masalah hamstring.

Pendahulu liga itu dikaitkan dengan Virgil van Dijk bagi jendela perpindahan Januari sebelum perpindahan pemain Belanda itu ke Liverpool dari Southampton disahkan hari ini.