Vincent Kompany jelas gembira dengan kejayaan Manchester City meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini, namun mencabar rakan sepasukannya untuk mempertahankan trofi itu pada musim depan.

City disahkan sebagai juara selepas pasukan tangga kedua, Manchester United, tewas 1-0 di tangan West Bromwich Albion di Old Trafford, lewat malam tadi.

City sebelum ini telah menjulang trofi liga sebanyak dua kali di era Liga Perdana Inggeris tetapi sentiasa gagal untuk mempertahankannya, membuatkan Kompany menggesa rakan-rakannya agar melakukannya pada tahun depan.

"Anda tidak boleh memberi alasan. Sebelum ia diketahui, ia telah hilang. Saya bertuah meraih tiga trofi liga tetapi terlepas beberapa musim," katanya.

"Saya gembira pada hari ini. Saya rasa rakan sepasukan sangat gembira dengan kejayaan ini tetapi saya mahu melihat reaksi mereka selepas ini.

"Saya tidak pernah dapat mengekalkan kejuaraan, jadi mari lihat sama ada pasukan ini mampu melakukannya atau tidak.

"Mungkin saya orang pertama yang memikirkan aksi musim depan. Saya mahu kekal rendah diri. Ia bukan satu empayar tetapi sebuah trofi. Semestinya hebat tetapi saya mahu mendapatkan potensi sepenuhnya," ujarnya.

Dalam masa sama, dia juga memuji impak yang diberikan oleh pengurus pasukan, Pep Guardiola.

"Jika saya bertemunya ketika berusia 20 tahun, mungkin saya akan berkembang dengan lebih hebat.

"Setiap pemain yang bermain di bawah bimbingannya meraih kejayaan kerana cara yang diberikan. Dia mampu mendapatkan aksi terbaik setiap pemain.

"Saya rasa kami percaya dengan gaya permainannya, jika tidak, kejayaan ini tidak akan terjadi."