Emre Can menyangkal dakwaan bahawa ketidaktentuan masa depannya di Liverpool akan mempengaruhi persembahannya di atas padang.

Kontrak pemain tengah Jerman itu di Anfield akan tamat penghujung musim ini, namun beberapa perbincangan masih belum mencapai kata sepakat.

Gergasi Serie A, Juventus, menyatakan minat terhadap Can sementara pengurus The Reds, Jurgen Klopp, menjelaskan situasi berkenaan pada Ogos lalu: "Adakah saya fikir ia kelihatan bagus kami masih gagal menyelesaikan masalah ini? Secara jujurnya, tidak."

Begitupun, pemain berusia 23 tahun itu menyatakan dia kekal gembira di Anfield dan mencadangkan prestasinya tidak menurun kerana dipengaruhi isu kontraknya.

"Saya membuat langkah ke depan selama tiga tahun saya di sini," katanya kepada Times. "Ini adalah musim keempat saya di Liverpool dan saya bermain dalam banyak perlawanan. Saya benar-benar menikmati saat berada di sini. Ini adalah sebuah kelab yang hebat.

"Sudah tentu, kadang-kadang saya boleh bermain lebih baik, saya sedar mengenai hal itu. Perkembangan saya semakin baik, saya cuba menjadi lebih baik dan saya berusaha keras untuk itu.

"Mengapa komitmen saya perlu berbeza? Saya mempunyai kontrak bermain untuk kelab ini, saya meraih pendapatan di sini dan saya suka bermain untuk Liverpool.

"Saya tidak fikir tentang kemunduran atau kecederaan apabila saya turun beraksi. Saya hanya memikirkan bagaimana saya dapat membantu pasukan. Kecederaan boleh berlaku tetapi di padang, saya hanya fikir bagaimana kami dapat mencapai kemenangan."