Pengurus Everton, Ronald Koeman, mencadangkan beliau mungkin menandatangani Wayne Rooney dari Manchester United pada penghujung musim ini.

Rooney menyatakan bahawa dia akan menolak tawaran mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya, termasuk laporan mengenai tawaran lumayan untuk beraksi dalam Liga Super China, bagi terus kekal di Old Trafford.

Masa depan kapten itu bersama kelab masih lagi menjadi perbualan utama -- kali terakhir Rooney turun sebagai pemain dalam kesebelasan utama adalah pada Disember dan sekadar berada di bangku simpanan ketika United menewaskan Southampton dalam final Piala EFL, Ahad lalu.

Rooney juga telah dikaitkan bakal kembali ke Everton dan Koeman mengakui beliau akan menerima kehadirannya di Goodison Park jika berpeluang menandatanganinya.

"Saya berpendapat Wayne Rooney masih mampu beraksi di pentas yang tinggi dan dia telah mengambil keputusan yang tepat untuk kekal bersama United," kata Koeman.

"Dia masih memiliki dua atau tiga tahun lagi untuk bermain di tahap terbaik. Pada pendapat saya, dia memiliki kualiti untuk mempertingkatkan mutu permainan pasukan saya. Saya berminat melihat Rooney beraksi untuk Everton."

Koeman juga telah dikaitkan dengan Barcelona selepas khabar angin mengenai Luis Enrique tidak akan memperbaharui kontrak sebagai ketua jurulatih pada penghujung musim ini.

Bekas pemain kebangsaan Belanda itu berkata beliau tidak mahu meninggalkan The Toffees kerana memiliki sasaran buat pasukan tersebut.

"Saya telah dikaitkan dengan Barcelona sejak mengendalikan pasukan di Belanda lagi. Buat masa ini, saya tidak memikirkan mengenai kelab lain kerana saya telah menandatangani kontrak bersama Everton.

"Saya memiliki projek bersama pasukan ini, saya mahu kekal di sini."