Pengurus Everton, Ronald Koeman, melontar pujian terhadap penjaga gol terbaru kelab itu, Jordan Pickford, selepas mempamerkan aksi mantap di gawang dalam membantu melakar kemenangan 1-0 ke atas Stoke City, malam tadi.

Wayne Rooney meledak gol tunggal perlawanan tatkala The Toffees mengatasi aksi bergelut di awal permainan untuk mengutip tiga mata di Goodison Park.

Keputusan tersebut mungkin berubah seandainya Pickford gagal menghasilkan persembahan mantap untuk menampan percubaan Xherdan Shaqiri pada masa kecederaan.

Pickford memastikan siri tanpa bolos berterusan dalam penampilan sulungnya bersama Everton dalam liga, apabila gawang pemain berusia 23 tahun itu turut tidak dibolosi ketika beraksi dalam Liga Europa.

"Kami tahu kami membawa masuk seorang penjaga gol yang hebat," Koeman bercakap kepada Sky Sports.

"Dia mempamer dominasi di gawang, dia masih muda tetapi berjaya menyelamatkan gawang pada minit akhir. Ini sangat penting."