Ronald Koeman menegaskan dia tidak akan meninggalkan Everton sebelum kontraknya berakhir meskipun mengakui jawatan di Barcelona adalah impian sepanjang hayatnya.

Bekas bintang Barca dan Belanda itu berkata minggu ini bahawa menjadi ketua jurulatih di kelab lamanya itu dan pasukan kebangsaan adalah dua daripada impian yang masih diburunya.

Spekulasi kembali bertiup di Camp Nou untuk membawa Koeman sejak Luis Enrique mengesahkan dia akan berundur daripada peranannya sebagai bos gergasi Catalan itu pada akhir musim ini.

Bagaimanapun, Koeman menegaskan dia komited sepenuhnya terhadap projek Everton.

"Saya sudah menyatakannya beberapa kali.

"Ia adalah cita-cita saya dan ia tidak akan mengubah kedudukan saya atau kontrak saya bersama Everton," kata pengurus itu dalam sidang akhbar hari ini.

"Saya amat gembira berada di Everton dan saya tidak sabar untuk menghadapi musim depan. Ia adalah satu projek besar dan saya tidak sabar dengannya.

"Tidak ada peluang yang saya akan meninggalkan Everton sebelum akhir kontrak saya.

"Sebelum ini, saya kerap dikaitkan. Saya tidak boleh menghentikan (khabar angin) ini. Jika saya boleh, saya akan, kerana saya adalah pengurus Everton. Tetapi, ketika saya berada di Southampton, saya juga dikaitkan dengan Barcelona."

Sementara itu, Koeman, yang pasukannya akan berdepan Swansea City dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL), esok, berkata penggempur mereka, Arouna Kone, bakal meninggalkan kelab itu apabila kontraknya tamat.

"Arouna akan menamatkan kontrak dan akan meninggalkan kelab ini pada akhir musim ini," katanya.