Ronald Koeman mahu menamatkan kontroversi berkaitan kenyataannya terhadap Romelu Lukaku dengan menegaskan penyerang Belgium itu mampu mencabar kejuaraan bersama Everton.

Koeman sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengatakan Lukaku tidak akan menjadi antara pemain bertaraf dunia jika dia kekal di Goodison Park.

Bagaimanapun, bekas pengendali Southampton itu percaya pemain berusia 23 tahun itu memiliki kemampuan untuk menjadi inspirasi terhadap rakan sepasukannya bagi mencabar kejuaraan musim ini.

"Saya bukan cuba mempertahankan diri saya tetapi kamu telah tersalah tafsir kenyataan saya," katanya dalam sidang media menjelang aksi berdepan Swansea hujung minggu ini.

"Sudah tentu kami mahu membuktikan kepada Lukaku bahawa dia mampu bergerak seiringan dengan Everton.

"Jika Everton tidak menampakkan kemajuan, sudah tentu ia tidak akan memberi impak positif terhadap pembangunan karier Lukaku kerana dia baru berusia 23 tahun.

"Jika dia kekal untuk beberapa tahun akan datang, saya yakin dia akan menampakkan kemajuan kerana ketika ini dia merupakan antara penyerang terbaik di Eropah dan dalam Liga Perdana Inggeris.

"Saya sedar terdapat banyak pasukan yang mahukan khidmatnya dan dia juga perlu membuat keputusan -- sama ada untuk menerima atau menolak -- tetapi apa yang saya boleh lakukan adalah memastikan Lukaku kekal selama mungkin."

Bekas penyerang Anderlecht dan Chelsea itu dilaporkan menjadi sasaran Bayern Munich awal musim ini dan Koeman percaya mereka perlu bertarung dalam memastikan pemain bintang mereka itu kekal pada hujung musim.

"Kami sedar yang kami perlu berjuang dalam memastikan dia kekal tetapi pada masa sama kami juga perlu ada perancangan sokongan," tambahnya.