Pengurus Everton, Ronald Koeman, yang menegaskan dia tidak mempunyai perancangan untuk menjual Romelu Lukaku, berkata penyerang berkenaan perlu kekal di kelab itu untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.

Lukaku, 23, akan menamatkan kontrak pada pertengahan 2019 dan pemain antarabangsa Belgium itu dilihat tidak akan melanjutkan perjanjian.

Sebaliknya, Koeman mahu mengekalkan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris itu di Goodison Park, sekurang-kurangnya untuk satu kempen lagi.

"Saya akan memastikan dia kekal sekurang-kurangnya musim depan," katanya kepada Mirror.

Koeman dan Lukaku telah membantu Everton untuk berada di tangga ketujuh dalam liga tetapi mereka masih enam mata di belakang tempat keempat.

Pemain Belanda itu tiba di kelab berkenaan menerusi perjanjian tiga tahun pada Jun 2016 tetapi dia juga tidak bersedia untuk menandatanganinya sekali lagi.

"Adalah terlalu awal, pada pendapat saya," kata Koeman.

"Saya tidak faham kelab bola sepak ini, apabila mereka mempunyai pengurus dan mereka menandatangani kontrak selama tiga tahun dan selepas enam bulan masih terdapat perbincangan untuk kontrak baru."

Everton akan berkunjung ke Anfield untuk aksi tetangga Merseyside dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini.