Ronald Koeman menerima keputusan Wayne Rooney untuk bersara daripada saingan bola sepak antarabangsa bagi memberikan tumpuan kepada Everton tetapi beliau lebih gembira jika dia terus menyarung jersi England.

Rooney mengumumkan persaraannya daripada pasukan England selepas meraih 119 kap dan menjaringkan 53 gol sejak membuat penampilan pertama pada Febuari 2003.

Koeman menyatakan bahawa pemain berusia 31 tahun itu, yang telah menjaringkan dua gol dalam dua aksi pertama Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), memilih untuk memberikan tumpuannya di Goodison Park selepas kembali ke Merseyside dari Manchester United bulan lalu.

"Rooney telah berbincang dengan saya. Dia telah menghubungi pengendali England, Gareth Southgate," kata Koeman.

"Dia telah membuat keputusan kerana ia adalah yang terbaik untuk Everton. Ia adalah satu keputusan daripada pemain dan saya menghormatinya."