Pengurus Everton, Ronald Koeman, menyelar persembahan pasukannya yang terlalu lemah ketika tewas 3-0 kepada Tottenham di Goodison Park, semalam.

The Toffees ketinggalan dengan dua jaringan pada babak kedua dan bolos sejurus perlawanan bersambung untuk menyaksikan kekalahan kedua dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Di kala berpuas hati dengan permulaan Everton musim ini, Koeman dikecewakan dengan kegagalan pasukannya untuk bangkit selepas ketinggalan kepada jaringan pembukaan Harry Kane.

Pengendali dari Belanda itu menyifatkan kekurangan kekuatan fizikal pemain-pemainnya merupakan antara faktor mereka gagal bersaing dalam perlawanan ini.

"Saya tidak meminta pemain melakukan kekasaran tetapi terdapat beberapa situasi apabila kami terlalu mudah memberikan ruang kepada lawan," kata Koeman.

"Saya melihat beberapa pemain Tottenham bijak mengambil peluang. Tetapi pemain-pemain saya gagal untuk mencari jalan dan bangkit."

Everton kini telah bertemu ketiga-tiga pasukan yang berada dalam kelompok teratas liga dan permulaan musim yang sukar berterusan apabila bakal berkunjung ke Manchester United.

"Kami menyedari laluan sukar menanti kami. Kami akan mengambil pengajaran daripada perlawanan ini dan cuba untuk bangkit dalam aksi seterusnya."