Koeman berang dengan prestasi Everton

By Patric Ridge 19 November 2016 68
Koeman berang dengan prestasi Everton

EVERTON 1 SWANSEA CITY 1

Pengurus Everton, Ronald Koeman, mengakui berang selepas pasukannya seri 1-1 dengan Swansea City dalam saingan Liga Perdana Inggeris.


Seamus Coleman menyelamatkan pasukan tuan rumah di penghujung perlawanan selepas Gylfi Sigurdsson membuka jaringan menerusi sepakan penalti dalam separuh masa pertama.

Koeman, yang menyaksikan kekalahan terburuk Everton dalam tempoh tujuh tahun sebelum aksi perlawanan antarabangsa minggu lalu, mengakui pasukannya perlu memperbaiki permainan mereka jika mahu kekal berada dalam kelompok sepuluh terbaik.

"Saya sangat marah kerana kami telah berbincang mengenai kekalahan kami kepada Chelsea [tewas 5-0] dan langkah yang harus kami ambil dalam perlawanan seterusnya," jelas Koeman.

"Dalam separuh masa kedua, kami bermain dengan lebih lancar dan memberikan kesukaran kepada pasukan lawan.

"Kami gagal menghasilkan apa-apa daripada peluang terbuka, dan gagal melakukan hantaran silang dengan kemas. Tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak terlalu selesa seperti dalam separuh masa pertama.

"Saya sangat marah kerana kami perlu ketinggalan satu gol terlebih dahulu sebelum bermain dengan baik.

"Selepas menjaringkan gol, kami telah berusaha sehabis mungkin untuk memenangi perlawanan tetapi kami terpaksa berpuas hati dengan satu mata."

Dalam pada itu, pengendali Swansea, Bob Bradley, juga kecewa dengan pasukannya kerana melepaskan peluang untuk meraih tiga mata penuh di penghujung perlawanan.

"Kami kecewa dengan keputusan ini tetapi inilah yang harus dilalui mana-mana pasukan yang melepaskan peluang untuk memenangi perlawanan. 

"Tetapi kami juga mempelajari beberapa perkara positif daripada perlawanan ini, kami mampu bangkit dan mempamerkan aksi yang lebih baik selepas ini."

About Author

Patric Ridge

Comment