Jurgen Klopp kekal yakin usahanya di Liverpool sebagai projek jangka masa panjang pada waktu dia mahu menamatkan aksi longlai anak buahnya ketika bersiap untuk menghadapi Tottenham Hotspur, tengah malam ini.

Keyakinan itu dilontarkan ketika The Reds hanya mencapai satu kemenangan dalam 10 perlawanan sejak tahun baru.

Ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, untuk menduduki tangga kelima, tekanan semakin memuncak ke atas Klopp, yang terus fokus untuk menjayakan usahanya.

"Kami masih yakin dengan projek jangka panjang ini," katanya.

"Pemain belajar tapi adalah menjadi tugas saya untuk memimpin mereka ke landasan tepat.

"Saya tidak mempersoalkan apa-apa pun (selepas kekalahan). Semuanya akan menjadi mudah apabila anda memenangi perlawanan tapi tugasnya tetap sama.

"Tugas saya bukannya mudah, namun ia kelihatan mudah untuk ditonton. Itulah bola sepak, setiap situasi adalah cabaran.

"Kalau anda berada dalam kedudukan baik, anda perlu kekalkannya. Kalau tak, anda perlu segera menyelesaikan masalah itu.

"Kami tidak mahu mencipta alasan, kami mahu mencari jalan penyelesaiannya.

"Hanya kerana anda tidak beraksi hebat, ia tidak bermakna anda tidak boleh memenangi perlawanan berikutnya. Anda sentiasa mahukan kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

"Dan perlawanan seterusnya adalah menentang Tottenham."

Liverpool hanya memungut 13 mata daripada 21 mata yang boleh direbut ketika menentang enam pasukan teratas. Ia rekod yang mahu diperkemaskan Klopp ketika pasukannya sudah bersedia menghadapi cabaran Spurs yang tidak tewas dalam sembilan aksi EPL.

"Rekod kami sepatutnya lebih baik.

"Kami tahu kami masih boleh beraksi dengan lebih baik dan kami harus membuktikannya di atas padang.

"Bertemu Tottenham, kami perlukan segala-galanya. Jika kami beraksi seperti babak pertama ketika menentang Hull City -- kami tidak berpeluang. Kalau aksi seperti dalam babak kedua, maka peluang kami akan lebih cerah tapi kami mahukan aksi yang lebih baik lagi.

"Saya tidak memikirkan terlalu banyak mengenai pasukan lain. Prestasi baik pasukan lain adalah normal."