Jurgen Klopp meyakinkan Jordan Henderson supaya tidak melaporkan diri lebih awal selepas tampil cemerlang dalam Piala Dunia Russia apabila pemain tengah berkenaan hampir pasti terlepas aksi pembukaan Liga Perdana musim 2019.

Henderson merupakan sebahagian nadi pasukan England di Russia, membantu pasukan kendalian Gareth Southgate itu mencapai separuh akhir kejohanan itu di sebalik bergelut dengan masalah hamstring dalam pusingan kalah mati.

Walaupun menyatakan hasratnya kembali bekerja lebih awal, pengurus Liverpool itu menolaknya dan menegaskan pemain berusia 28 tahun itu perlu berehat selama tiga minggu untuk pulih. Ini bermaksud dia tidak akan melaporkan diri sehingga 5 Ogos.

Rakan sepasukan, Dejan Lovren, akan kembali keesokan harinya selepas beraksi dalam final Piala Dunia bersama Croatia, yang bermakna kedua-dua mereka tidak mungkin terlibat menentang West Ham di Anfield pada 12 Ogos.

"Ia adalah keputusan yang sukar untuk meyakinkannya (Henderson) bahawa dia memerlukan cuti," kata Klopp. "Saya tahu ia akan berlaku. Di telefon, saya berkata 'gila'.

"Jordan memerlukan cuti, ini bermakna 5 Ogos nanti dia akan kembali. Dejan meraikan pesta di Croatia dan bermain sehari selepas (Henderson), jadi dia akan kembali pada 6 Ogos.

"Ini bermakna mereka hanya sempat menjalani latihan selama lima hari selepas tiga minggu bercuti.

"Saya berharap kami berada dalam situasi yang tidak memerlukan kami mempertimbangkan khidmat kedua-duanya (menentang West Ham)."

Bagaimanapun, Trent Alexander-Arnold boleh dipanggil memandangkan Klopp mempunyai "perjanjian khas" dengan pertahanan itu.

Pemain muda itu hanya muncul sekali untuk England dalam Piala Dunia dan atas faktor umurnya, pengurus Liverpool tersebut akan mempertimbangkan untuk membenarkannya kembali lebih awal daripada perancangan asal.

"Saya mempunyai perjanjian istimewa dengan Trent," tambah Klopp. "Dia mahu terbabit sejak dari awal lagi kerana dia sangat muda, jadi saya berkata 'Baiklah, anda mempunyai dua minggu untuk bercuti, kemudian kita akan berbincang dan lihat bagaimana'.

"Kalau anda bercakap dengan Trent, dia pasti akan cakap sudah bersedia untuk menyertai kami dalam masa dua minggu. Tetapi saya tidak pasti saya akan melakukannya.

"Saya tersangat ingin menggunakan khidmat mereka, namun musim adalah panjang."