EVERTON 0 LIVERPOOL 1

Jurgen Klopp berkata beliau lebih daripada gembira di atas kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

The Reds dilihat hampir kehilangan mata kepada pendahulu liga, Chelsea, menjelang masa kecederaan, namun Sadio Mane muncul wira untuk memastikan mereka pulang ke Anfield dengan tiga mata penuh selepas menampan masuk percubaan Daniel Sturridge yang terkena tiang gol.

Klopp berkata pertembungan 'derby' Merseyside itu bukanlah yang terbaik tetapi berasakan skuad kendaliannya berhak memenangi perlawanan berkenaan.

"Kami sangat gembira dan berhak memenangi perlawanan yang sukar ini," kata Klopp kepada Sky Sports.

"Perkara yang terbaik dalam perlawanan sebegini adalah melihat penyokong-penyokong kami gembira.

"Everton cuba merencanakan aksi yang agresif. Mereka cuba merampas bola dan menggagalkan permainan kami, jadi ia menyukarkan kami untuk beraksi.

"Dalam separuh masa kedua, kami mampu menjaringkan gol lebih awal tetapi kami gagal melakukannya.

"Kami memerlukkan pemain yang mampu melepaskan rembatan seperti yang dilakukan oleh Sturridge.

"Jika anda memenangi perlawanan kerana bermain dengan bijak, anda tidak akan memenangi banyak perlawanan. Ia merupakan satu peperangan dan kami bersedia untuk mengharunginya."