Bekas pemain Liverpool, Dietmar Hamann, berkata Jurgen Klopp tidak memerlukan pertolongan daripada Steven Gerrard untuk memberikan kejayaan buat Liverpool.

Klopp baru-baru ini berkata bekas kapten Liverpool dan England itu akan diterima di Anfield untuk menyertai staf kejurulatihan pada bila-bila masa.

Gerrard mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional Khamis lalu dan Hamann berasakan belum tiba masa buat Gerrard untuk kembali bersama The Reds.

"Liverpool sedang mengharungi musim yang sangat baik ketika ini, saya tidak berasakan mereka memerlukan bantuan Gerrard ketika ini," kata Hamann.

"Pada pendapat saya, Klopp dan barisan kejurulatihan yang sedia ada mampu menghasilkan kejayaan buat Liverpool dan Gerrard pula perlu mendapatkan pengalaman dalam arena bola sepak di tempat lain dahulu sebelum kembali ke Anfield."

Hamann telah beraksi bersama Gerrard ketika menjulang gelaran Liga Juara-Juara (UCL) pada 2005 ketika menewaskan AC Milan di Istanbul.