Jurgen Klopp tidak akan mengambil mudah penyertaan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) selepas diundi bertemu Hoffenheim dalam aksi play-off.

The Reds bakal berkunjung ke Jerman, di mana mereka baru sahaja kembali daripada saingan Piala Audi, untuk aksi pertama pada 15 Ogos dan menerima kunjungan skuad bimbingan Julian Nagelsmann ke Anfield pada minggu berikutnya.

Klopp mengetahui selok-belok permainan Hoffenheim ketika mengendalikan Mainz dan Borussia Dortmund, namun menegaskan enggan mengambil mudah ketika bertemu mereka.

"Sangat menarik. Saya sudah menjangkakan aksi berdepan mereka. Saya sememangnya mahu Liverpool bertemu mereka.

"Ia bukan perlawanan yang mudah, Hoffenheim memiliki kualiti yang mampu mendatangkan masalah buat kami.

"Mereka memiliki barisan pemain muda. Mereka kehilangan khidmat dua pemain utama, Sebastian Rudy dan Niklas Sule, yang menyertai Bayern. Pengurus mereka juga hanya berusia 30 tahun, seorang yang sangat berbakat.

"Saya tidak sabar menantikan perlawanan ini. Tetapi kami perlu menghadapi Watford terlebih dahulu bagi aksi pembukaan EPL pada 12 Ogos."