Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, tidak mahu memikirkan spekulasi mengatakan pasukannya telah bersedia untuk memberikan cabaran sebenar merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Liverpool merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palaca awal pagi tadi untuk menduduki tangga kedua liga selepas dua perlawanan dan berada di belakang juara bertahan, Manchester City.

Aksi di Selhurst Park itu menyaksikan Liverpool tidak dibolosi dalam dua perlawanan berturut-turut dan dua gol hasil sumbangan James Milners serta Sadio Mane menjadikan mereka salah satu pasukan berpotensi untuk muncul juara.

Namun, Klopp berasa masih terlalu awal untuk bercakap tentang kemampuan Liverpool bagi menamatkan penantian sejak musim 1989/90 bagi menjulang trofi liga.

"Sejujurnya, masih terlalu awal dan saya tidak mahu memikirkannya kerana ia tidak penting," kata Klopp.

"Kami tidak bersaing dengan pasukan Liga Perdana Inggeris yang lain. Saya tidak begitu pasti dapat menjaringkan gol pada awal pagi tadi.

"Kami harus menjadi pasukan yang sukar untuk dihadapi dan tiada siapa yang gembira untuk berdepan kami, tidak kira di Anfield atau di laman lawan, namun kita akan lihat pada penghujung musim nanti.

"Liga ini terlalu sengit dan terlalu awal untuk membincangkannya selepas dua minggu, jadi saya akan biarkan anda berbicara tentangnya."

Pemain tengah, Naby Keita, sekali lagi mencuri tumpuan awal pagi tadi, dalam perlawanan yang menyaksikan Crytal Palace beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah terhadap Aaron Wan-Bissaka yang menjatuhkan Mohamed Salah ketika aksi berbaki 15 minit.

Klopp berpendapat pemain baru Liverpool itu perlu tampil lebih ke depan di luar padang untuk membiasakan diri dengan pasukan.

"Keita seorang pemain yang sangat pemalu dan dia harus mengubahnya sedikit demi sedikit. Dia sentiasa bersama Mane.

"Kami sukakan Keita tetapi tidak pasti sama ada dia mempunyai perasaan sama memandangkan dia tidak banyak bercakap. Keita perlukan masa kerana dia mempamerkan aksi hebat di atas padang. Ketika di Jerman, kami melihat banyak gelecekan di kawasan sempit dan ia masih belum dapat disaksikan di sini.

"Tentunya dia boleh lakukan lebih lagi. Keita melakukan beberapa hantaran menarik, bertahan dan bersaing dengan tenang. Sudah pasti dia mampu dan perlu terus meningkat."