Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan dia tidak gusar biarpun tidak begitu aktif dalam soal perpindahan ketika ini.

Setakat ini, hanya Mohamed Salah dan Dominic Solanke muka baru yang tiba di Anfield di mana skuad kendalian Klopp itu berhasrat untuk memperbaiki pencapaian meraih tangga keempat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim lalu.

Liverpool disebut-sebut berminat mendapatkan Virgil van Dijk dan Naby Keita.

Klopp, bagaimanapun, meredakan sebarang kebimbingan terhadap usaha memantapkan pasukannya sungguhpun pencabar seperti Manchester United (Romelu Lukaku), Arsenal (Alexandre Lacazette) dan Manchester City (Bernardo Silva and Ederson) sudah membawa masuk pemain ternama.

"Kalau ada peminat yang memikirkan apa yang pasukan lain lakukan dan mengapa kami tidak, maaf saya tidak dapat membantu," katanya dalam kemenangan 4-0 dalam aksi persahabatan dengan Tranmere Rovers, awal pagi tadi.

"Kami tidak membeli pemain hanya kerana pasukan lain berbuat demikian. Kami akan berurusan mengikut cara kami dan kami yakin dengan cara kami setakat ini.

"Mengenai kebimbangan peminat? Maaf saya tidak mempunyai mesej tepat mengenainya. Saya tidak khuatir, mungkin itu adalah mesej yang tepat."

Begitupun, Klopp enggan mengulas mengenai Van Dijk, 26, selepas The Reds terpaksa memohon maaf kepada Southampton kerana cuba mempengaruhi pemain itu dengan pendekatan salah, awal bulan lalu.

"Apa yang saya katakan akan menjadi satu kesilapan. Anda dan rakan-rakan anda telah menulis mengenai hal ini beberapa minggu lalu.

"Saya berada di Iceland ketika seseorang memberitahu saya apa yang terpapar di suratkhabar. Sejak itu, tiada apa yang berlaku, jadi saya tidak boleh mengulas apa-apa mengenai hal ini."