Jurgen Klopp tidak risau melihat keadaan Mohamed Salah yang bergelut ketika berdepan Chelsea sambil menafikan bahawa bintang Mesir itu kepenatan.

Salah, yang mengharungi musim membanggakan apabila mencatat 43 gol dalam semua kejohanan sehingga meraih trofi Pemain Terbaik Tahunan PFA, gagal menyinar ketika bertemu bekas pasukannya itu dalam aksi yang dibezakan dengan jaringan kemenangan oleh Olivier Giroud untuk kemenangan 1-0 Chelsea.

Bagaimanapun, Klopp yang sudah menempah tiket ke final Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu lalu tidak menjangkakan bekas pemain sayap AS Roma itu memerlukan hari cuti.

"Satu keadaan yang normal untuk seorang penyerang apabila berlaku perkara sebegini," kata Klopp kepada BBC.

"Kebiasaannya, dia dapat menyesuaikan diri menentang pasukan yang berkelebihan dalam aspek fizikal tetapi hari ini dia tidak melakukannya dengan baik."

Salah terlibat dalam satu gerakan sejurus Chelsea membuka tirai jaringan, namun menerima kad kuning kerana sengaja menjatuhkan diri dan Klopp tidak mempertahankan anak buahnya itu.

"Ia satu lakonan yang jelas atau Salah cuba untuk disentuh. Ia bukan sesuatu yang bagus kerana dia mampu melakukan lebih baik. Dia akan kembali menjaringkan gol tetapi tidak berpeluang pada hari ini. Segalanya bagus.

"Kami tidak mempunyai skuad yang besar dan berdepan masalah kecederaan, jadi rentak tidak begitu lancar.

"Kami mempunyai 11 atau 12 pemain yang beraksi secara kerap sebelum ini, jadi tempoh seminggu yang dimiliki selepas ini tentunya dapat membantu," tambah Klopp.