Jurgen Klopp tidak percaya Manchester City akan berasa gusar jika Liverpool dapat mengalahkan Bournemouth untuk mengambil alih kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) -- apatah lagi ia hanya akan bertahan selama beberapa jam.

The Reds terlibat dalam perlawanan awal pagi esok apabila bakal berkunjung ke Stadium Vitality, dengan kemenangan akan melonjakkan mereka ke atas skuad juara Pep Guardiola itu dalam saingan liga.

Sekalipun Liverpool menang, City berpeluang untuk kembali ke puncak apabila bakal beraksi menentang Chelsea pada hari yang sama biarpun fokus Klopp ketika ini hanyalah untuk memastikan pasukannya mencari jalan untuk mengatasi pasukan tuan rumah dalam pertembungan di pantai selatan itu.

Pengurus berbangsa Jerman itu mengagumi Bournemouth musim ini dan memuji tugas yang dilakukan rakan sejawatannya, Eddie Howe, semasa ditemui dalam sidang akhbar pra-perlawanannya semalam.

"Saya tidak fikir mereka berasa tertekan, mereka tidak kelihatan seperti itu," kata Klopp mengenai City.

"Itu bukan sasaran utama kami. Sasaran utama kami adalah untuk cuba menampilkan prestasi di peringkat tertinggi kerana ia diperlukan di Bournemouth. Mereka mengharungi musim yang hebat, Eddie melakukan pekerjaan yang luar biasa di sana.

"Tetapi, sudah tentu saya tahu dan setiap pemain tahu tentangnya. Saya tidak perlu menyebutnya, ia adalah jelas. Ia adalah satu perlawanan yang sukar, Bournemouth berada dalam prestasi yang baik.

"Sekalipun mereka tewas dalam beberapa perlawanan, kami menonton aksi mereka dan mereka selalu bekerja keras. Mereka sangat teratur dan sangat bagus dalam serangan balas, penuh keyakinan.

"Permainan paling menonjol mereka adalah sewaktu menentang Huddersfield. Huddersfield memperagakan aksi menarik dan jitu tetapi masih kalah sementara Bournemouth menang.

"Ini tugas besar untuk dilakukan. Untuk meraih kedudukan teratas liga memang bagus tetapi ia mungkin hanya bertahan beberapa jam."

Liverpool belum dikalahkan dalam 15 perlawanan liga musim ini apabila mempamerkan kebangkitan untuk mengatasi Burnley, Rabu lalu, yang dimenangi mereka 3-1.

Klopp amat gembira dengan persembahan di Turf Moor di mana anak buahnya menunjukkan kekuatan mental dengan mengatasi kekecewaan akibat melepaskan gol pembukaan permainan.

"Setakat ini kami menunjukkan tahap konsistensi yang merupakan perkara yang paling penting. Sekiranya anda mencapai tahap tertentu untuk memperbaikinya ataupun mempertahankannya, anda perlu konsisten," katanya kepada media.

"Itulah yang dilakukan oleh anak buah saya, mereka bersedia untuk menghadapi semua masalah dalam permainan bola sepak setakat ini.

"Kami mengekalkan rentak dalam kesemua perlawanan dan berjuang seperti ketika bertemu Burnley. Ia gelanggang yang sukar dan ketinggalan 0-1 merupakan petanda bahawa ada sesuatu yang istimewa dengan Burnley. Kami tetap tenang dan menggunakan detik kami dengan gol yang hebat.

"Ini satu contoh yang bagus pada musim ini -- apa jua yang berlaku dalam permainan, anda perlu mempercayai pasukan anda, percaya kepada kekuatan anda sendiri dan gunakannya. Itulah yang kami lakukan."

Satu-satunya berita tidak menyenangkan dalam kemenangan ke atas Burnley adalah kecederaan yang menimpa Joe Gomez. Pertahanan itu menderita patah kaki kiri yang akan menghalangnya daripada beraksi selama enam minggu.

Klopp juga mengesahkan dia tidak dapat menurunkan pertahanan tengah, Dejan Lovren, untuk pertemuan di Bournemouth.

Ini bermakna Joel Matip dijangka terus bergandingan dengan Virgil van Dijk di pusat pertahanan.

Selain itu, Sadio Mane turut diketepikan ekoran tidak sempat cergas selepas ditimpa kecederaan ketika bertemu Everton minggu lalu.