WOLVES 0 LIVERPOOL 2

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menjangkakan saingan sukar bakal disajikan pencabar utama mereka, Manchester City, selepas pasukannya kini berkelebihan empat mata di puncak Liga Perdana Inggeris ekoran kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers, awal pagi tadi.


Aksi di Stadium Molineux itu menyaksikan Mohamed Salah menjaringkan gol liganya yang ke-11 musim ini dalam babak pertama.

Dia kemudian membantu jaringan kedua pelawat menerusi hantaran yang disudahkan Virgil van Dijk dalam babak berikutnya.

Kemenangan itu menyaksikan The Reds kekal mengemudi carta Liga Perdana Inggeris sebelum perayaan Krismas.

Berdasarkan rekod, empat pasukan terakhir yang berjaya mengekalkan pendahuluan itu memenangi saingan liga pada musim tersebut.

Walaupun Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah dan meraih 48 mata daripada 18 perlawanan, Klopp tetap menjangkakan pertemuan dengan City di Stadium Etihad pada 3 Januari ini akan menjadi perlawanan paling penting buat pasukannya.

"Ia perlawanan yang sukar," katanya kepada BBC.

"Kedua-dua pasukan memberikan tekanan dengan baik.

"Kami perlu beraksi kompak dan terbuka pada masa sama.

"Ia menjadikan perlawanan itu amat sukar.

"Kami bertahan dengan baik.

"Hujan lebat menyekat kelancaran kedua-dua pasukan.

"Ia perlawanan yang penting dan kami perlu lebih bersedia selepas ini

"Gol pertama terhasil dengan sangat bijak.

"Gol kedua pula, saya perlu mengucapkan tahniah kepada pemain.

"Saya gembira dengan keputusan yang kami peroleh.

"Kami mahu mengejutkan lawan dan ia berjaya.

"Kami memaparkan bola sepak sempurna walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak begitu baik.

"Kami akan berdepan Manchester City selepas ini.

"Ia pasti menjadi perlawanan yang sukar buat pemain saya.

"Kami memerlukan perancangan yang berbeza, namun pemain saya sudah bersedia untuk menentang mereka," tambahnya.

Liverpool, bagaimanapun, akan bertemu Newcastle United dan Arsenal terlebih dahulu sebelum bertandang ke laman City.