Jurgen Klopp menegaskan dia tetap menghormati Pep Guardiola walaupun pengurus Manchester City itu mengeluarkan komen yang mendakwa Liverpool gemar melakukan simulasi.

Sadio Mane menjaringkan gol dalam waktu kecederaan ketika Liverpool menewaskan Aston Villa 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris minggu lalu, namun dia terlebih dahulu dilayangkan kad kuning kerana melakukan simulasi -- sebelum itu, dia turut dikritik selepas mendapatkan sepakan penalti ketika menewaskan Leicester City.

Guardiola turut terjebak dengan kritikan terhadap pemain kebangsaan Senegal itu dengan berkata kepada BBC Sport, "Adakalanya dia (Mane) melakukan simulasi", yang mendorong Klopp untuk mempertahankan pemainnya itu dengan menuduh City menggunakan taktikal kekasaran, yang kerap dinafikan pengurus berbangsa Catalan itu.

Isu itu menjadi perbualan utama menjelang pertembungan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris itu di Anfield awal pagi Isnin ini, namun Klopp seakan-akan mahu meninggalkan perbalahan itu dengan berkata dia amat menghormati rakan sejawatannya itu selepas Guardiola turut mengeluarkan kenyataan bahawa dia tiada niat untuk menuduh Mane menipu.

"Saya berada dalam situasi yang sama dengannya, kami sentiasa perlu menjawab soalan dan adakala menjawabnya dengan apa yang terlintas di fikiran kami tanpa memikirkan perkara-perkara lain," katanya kepada Sky Sports.

"Dia sudah menjelaskannya dengan baik.

"Dia berkata, apabila dia berbual dengan anak-anaknya, situasinya seperti itu, sama ada penalti atau tidak.

"Itulah yang mereka bincangkan di rumahnya.

"Saya tidak kisah mengenai itu.

"Saya amat menghormati Pep Guardiola.

"Saya sudah mengenalinya sejak lama dahulu.

"Ia masih satu perkara yang besar untuk menjadi pesaingnya.

"Bagi saya, dia pengurus terbaik di dunia dan kami berpeluang untuk menewaskan pasukannya.

"Ia amat sukar tetapi tidak mustahil.

"Kami mempunyai beberapa rekod cemerlang ke atas mereka, jadi daripada pihak saya, tiada perkara lain melainkan hormat," katanya.

Klopp turut mengakui dia lebih memilih untuk menarik semula kenyataannya berkenaan taktikal kekasaran City dengan berkata: "Saya mengakui saya ada berkata seperti itu tetapi tolonglah, saya tidak boleh membiarkannya tanpa memberikan sebarang komen.

"Tetapi saya benar-benar tidak berminat. Saya fikir sudah cukuplah anda menulis mengenai itu, tidak perlu memperbesar-besarkannya lagi.

"Jika saya boleh mengulangi masa, saya tidak akan berkata seperti itu (mengenai taktikal kekasaran) kerana ia tidak perlu.

"Saya tahu pihak mereka juga seperti itu, mereka juga menghormati kami.

"Selebihnya akan ditentukan di atas padang," tambahnya.

Liverpool, yang tidak pernah tewas dalam Liga Perdana Inggeris sejak ditundukkan oleh City pada Januari lalu, berkelebihan enam mata di kedudukan teratas menjelang pertemuan di Merseyside itu.

Klopp merancang untuk memburu kemenangan berbanding mengelakkan kekalahan tetapi dia tidak fikir perlawanan itu akan menjadi penentu kejuaraan musim ini.

"Kami menyedari situasi yang terjadi tahun lalu. Kami hanya tewas sekali, iaitu kepada City, dan ia menjadi penentu sehingga ke akhir saingan, dan itulah yang semua orang nampak.

"Tetapi anda perlu menghabiskan kesemua perlawanan.

"Jika kami menewaskan City dan tidak memenangi perlawanan lain, ia tiada guna juga.

"Masih banyak perlawanan yang akan datang. November, Disember dan seterusnya Januari.

"Mungkin orang lain yang lebih bijak daripada saya dapat melihatnya seperti itu.

"Bagi saya, ia perlawanan yang 100 peratus perlu dimenangi.

"Perlawanan wajib menang itu tidak pernah saya fahami.

"Bagi kami, untuk bersiap menghadapi perlawanan seperti ini, anda perlu melakukan perkara yang betul secara berterusan.

"Saya boleh bayangkan ada yang berkata kami tidak boleh tewas dan mereka perlu menang.

"Saya tidak menghiraukannya, kami perlu menang.

"Selepas itu, barulah kami akan melihat situasinya.

"Ia sesuatu yang besar dan kami menyedarinya.

"Seluruh dunia akan menyaksikannya dan saya tidak sabar untuk melaluinya," katanya lagi.