Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, berpuas hati dengan persembahan pemain muda, Trent Alexander-Arnold, selepas dia beraksi selama 90 minit perlawanan berdepan Manchester United.

Ketiadaan Joel Matip dan Nathaniel Clyne yang mengalami kecederaan, membuka peluang buat pemain berusia 18 tahun itu untuk tampil buat kali pertama dalam perlawanan besar di Old Trafford.

Kesungguhan Alexander-Arnold mengujakan Klopp selepas menyaksikan pasukannya melakar keputusan 1-1 di tempat lawan.

"Persembahan yang cukup baik," Klopp memberitahu barisan media selepas perlawanan berakhir.

"Kami bertuah memilikinya dan kami mahu menunjukkan kemampuannya kepada penyokong Liverpool. Posisi bek kiri sudah terjamin meskipun tanpa kelibat Clyne.

"Ketika berdepan pemain yang pantas seperti Anthony Martial, dia pada awalnya berdepan masalah, namun bingkas menyesuaikan diri untuk bertahan dengan baik.

"Saya mampu meletakkan Milner di bahagian bek kanan dan membawa masuk Alberto Moreno, namun saya enggan menukar dua posisi kerana saya tahu Alexander-Arnold sudah bersedia.

"Persembahan pemain cukup positif, kami tampil pasukan yang lebih baik dan memiliki rancangan yang lebih berkesan.

"Pemain saya bermain dengan baik tetapi kami tidak bernasib baik kerana hanya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti -- terdapat situasi di mana kami sepatutnya menjaringkan gol."

Pengendali United, Jose Mourinho, dan Klopp mula bertikam lidah di tepi padang selepas insiden kekasaran melibatkan Ander Herrera dan Roberto Firmino pada masa kecederaan.

"Saya rasa dia (Mourinho) sekurang-kurangnya mahukan kad kuning buat Firmino.

"Saya berpendapat sepatutnya kad kuning itu hanya dilayangkan kepada Herrera. Kami tidak mencapai persetujuan bersama ketika itu."