Jurgen Klopp teruja dengan persefahaman yang ditampilkan Philippe Coutinho dan Mohamed Salah selepas menyaksikan Liverpool mengatasi Hertha Berlin 3-0, lewat malam tadi.

Masa depan Coutinho di Merseyside menjadi topik hangat apabila dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona sebagai pengganti kepada Neymar andai dia membuat keputusan untuk berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG).

Bagaimanapun, Coutinho -- yang menyarung lilitan kapten di Olympiastadion -- menghasilkan hantaran bijak kepada Salah bagi meledak gol ketiga selepas selesa di depan hasil jaringan Dominic Solanke dan Georginio Wijnaldum.

Klopp, yang ternyata teruja dengan gandingan kedua-dua pemain itu, berkata: "Pemain seperti mereka memahami permainan masing-masing.

"Kami bertuah memiliki pemain berkualiti seperti ini. Saya gembira tetapi pada masa sama telah pun menjangkakan perkara ini.

"Hantaran (Coutinho) sangat kemas dan penyudah (Salah) juga baik."

Selain Salah, pemain baharu, Solanke dan Andrew Robertson, turut mempamerkan aksi mantap dan Klopp gembira dengan impak yang dicetuskan kedua-dua pemain itu.

"Kemampuan mereka melebihi jangkaan ramai pihak," tambahnya.

"Dari awal lagi saya sudah berkata bahawa kami mahu membentuk skuad yang ampuh daripada musim lalu. Buat masa ini kami gembira.

"Kami tidak mengalami masalah kecederaan pemain ketika ini, jadi jika kami dapat mengekalkannya, kami mampu memulakan musim baru dengan kuat."