Jurgen Klopp menjangkakan Emre Can akan segera kembali bersama pasukan selepas pemain tengah itu terpaksa dibawa keluar akibat masalah belakang badan ketika berdepan Watford, awal pagi tadi.

Pemain skuad kebangsaan Jerman itu dikeluarkan selepas beraksi selama 27 minit dalam pertemuan yang menyaksikan Mohamed Salah mencipta empat gol untuk membantu kemenangan 5-0.

Pemain tengah itu, yang beraksi dalam 26 daripada 31 aksi liga, kini sedang mempersiapkan diri untuk menyertai skuad Jerman bagi aksi persahabatan bertemu Brazil dan Sepanyol.

Klopp yakin Can akan tetap dapat beraksi dalam kedua-dua aksi tersebut.

“Ia melibatkan kecederaan belakang. Kami tidak berasakan ia serius tetapi lebih baik dia tidak meneruskan aksi bertemu Watford.

“Sebelum ini, dia telah berdepan masalah itu dan kami berikannya rehat selama sehari tetapi dia menyangka segalanya telah pulih dan turun ke sesi latihan pada Jumaat.

“Ia berkenaan otot dan sepatutnya tidak begitu serius. Saya rasa dia tetap akan menyertai kem Jerman dan menjalani proses pemulihan bersama mereka,” kata Klopp.

Klopp juga menjelaskan bahawa ketiadaan Adam Lallana juga disebabkan Liverpool mahu mengambil langkah berjaga-jaga.

Pemain yang telah beraksi sebanyak 33 kali untuk skuad England itu dijangka kembali ketika aksi persahabatan antarabangsa pada bulan ini.

“Jika ini adalah perlawanan terakhir musim ini, Adam tentu akan beraksi.

“Kami memberikannya peluang untuk meraih tahap kecergasan terbaik. Saya sudah bercakap dengannya dan juga Gareth Southgate (pengurus England) dan yakin dia akan cergas sepenuhnya untuk beraksi bersama The Three Lions.”