Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menyokong Virgil van Dijk untuk terus berkembang selepas pertahanan itu dilantik untuk mengetuai pasukan ketika menentang Red Star Belgrade.

Susulan kecederaan Jordan Henderson selain James Milner yang baru kembali daripada masalah hamstring, Klopp meminta anak buahnya untuk memilih kapten baru sempena pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) berkenaan.

Van Dijk, 27, terpilih untuk memakai lilitan kapten tersebut manakala rakan sepasukan Belanda, Georginio Wijnaldum, sebagai timbalannya.

Klopp, yang menyaksikan pasukannya akan menjadi tuan rumah kepada Cardiff City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini, membincangkan betapa ramainya pemimpin dalam skuadnya itu sambil berkata masih terdapat ruang untuk diperbaiki Van Dijk.

"Saya menganggap Milly dan Hendo sedang melakukan kerja yang luar biasa untuk kelab dan pasukan ini. Bertindak selaku duta kelab adalah perkara yang mengagumkan dan kemampuan beraksi cemerlang adalah perkara berbeza. Ia saling berkait rapat," katanya kepada akhbar UK.

"Apabila saya tiba di sini, saya membina sebuah jawatankuasa pemain yang terdiri daripada lima, enam pemain termasuk Lucas Leiva, Adam Lallana dan Phil Coutinho. Pasukan ini telah berkembang dan mereka adalah pemain yang mempunyai keinginan dan keyakinan tinggi, mereka boleh menentukan siapa dalam kalangan mereka yang mereka mahu lantik.

"Ia adalah keputusan yang sengit. Dejan (Lovren) calon yang terdekat, begitu juga Adam, mereka semua mendapat undian. Para pemain membuat penilaian tepat -- iaitu seseorang yang boleh melakukan tugas itu.

"Virgil masih muda. Dia lebih matang daripada yang disangkakan. Tiada masalah mengenai usianya dan dia masih boleh bertambah baik.

"Jika anda melihat dan mendengar percakapannya,, anda akan mendapati jurang di antara anda dan dia sangat mengagumkan.

"Adalah bagus baginya untuk menggalas tanggungjawab ini dan harinya akan tiba buat Gini (Wijnaldum) untuk bertindak sebagai ketua pasukan, dia juga akan berbangga dengannya."

Liverpool belum tewas dalam saingan Liga Perdana musim ini dengan menduduki tangga kedua di belakang Manchester City menerusi perbezaan gol.