Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, memikul tanggungjawab di atas merudumnya prestasi anak buahnya, namun mengakui sedang terdesak dalam mencari jalan penyelesaian.

The Reds menempuh permulaan hambar memasuki 2017 apabila hanya menang satu daripada 10 perlawanan.

Mereka telah tersingkir daripada saingan Piala EFL dan Piala FA di samping ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Chelsea, selepas tewas mengejut 2-0 kepada Hull City.

Klopp percaya Liverpool mampu untuk bangkit tetapi pada masa sama dia menerima jika harus dipersalahkan atas aksi anak buahnya yang tidak memberangsangkan.

"Kamu tidak akan percaya berapa banyak persoalan yang saya tanya kepada diri saya sendiri meskipun ketika memenangi perlawanan dengan keputusan 5-0 atau 6-0. Pada saya itu bukan satu masalah. Saya bukan seorang yang sempurna," Klopp memberitahu akhbar UK.

"Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas setiap kekalahan, lebih daripada ketika kami melakar kemenangan. Begitulah cara saya menghadapi perkara seperti ini. Tetapi ini bukan bermakna saya mengasihani diri sendiri.

"Setiap kali saya bangun daripada tidur, saya hanya memikirkan cara untuk mengatasi masalah. Penyelesaian itu ada.

"Meskipun ketika ini keadaan dilihat agak teruk, ia bukan masalah paling besar di dunia. Banyak pasukan yang telah melakukan kesilapan dan mula melakukan perubahan.

"Untuk itu kamu perlu melakukan pilihan yang tepat dan saya yakin kami juga mampu melakukannya."

Tewas kepada Hull City meletakkan tekanan besar ke atas Liverpool dalam aksi seterusnya berdepan Tottenham pada Sabtu.

"Meletakkan tekanan besar terhadap diri sendiri sudah menjadi hobi kami. Sekarang kami perlu bangkit," katanya.