Jurgen Klopp menegaskan tiada siapa yang lebih berhak daripadanya untuk mengurus Liverpool dan meminta penyokong bersabar kerana beliau sedang membentuk pasukan yang mampu menjulang takhta liga.

Bekas pengendali Borussia Dortmund itu berkata beliau akan meninggalkan Anfield jika berasakan ada pengganti yang lebih sesuai, dengan penilaian tersebut hadir selepas menyaksikan Liverpool ketinggalan 11 mata kepada Chelsea.

Klopp berasakan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang kompetitif bermakna kelayakan untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) adalah satu pencapaian yang bagus buat musim ini.

"Apabila anda dapat mencapai sasaran, ia adalah sesuatu yang menakjubkan," kata Klopp kepada Sky Sports. "Jika anda gagal mencapainya, ia tidak bermakna anda tidak bagus dan bukan pilihan yang tepat. Anda harus kembali dan mencubanya sekali lagi.

"Saya sentiasa melihat kepada alternatif. Adakah sesiapa yang mampu melakukan tugas yang lebih baik? Jika saya mengetahui ada sesiapa yang boleh melakukan tugas yang lebih baik, saya tidak akan berada di sini.

"Saya berasakan penyokong masih meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap saya. Kami akan menggunakannya sebagai salah satu kualiti kami.

"Saya adalah pengurus pasukan Liverpool dan saya sangat menyukai kerja saya. Mungkin terdapat beberapa tugas yang lebih senang tetapi ini sudah cukup baik buat saya.

"Jika kami layak ke UCL musim ini, ia sudah memadai berdasarkan saingan yang diberikan oleh kelab-kelab yang bersaing dalam liga ini.

"Musim ini telah membuktikan mana-mana pasukan mampu memberikan tentangan yang hebat."