Jurgen Klopp berkata beliau mungkin "menulis buku" mengenai seni bertahan sebagai motivasi untuk meningkatkan mutu permainan Liverpool musim ini.

Prestasi buruk ketika bertahan, terutama ketika menghadapi sepakan percuma pasukan lawan, telah mengecewakan The Reds ketika bertemu Watford, Burnley dan Sevilla musim ini, manakala tewas 5-0 kepada Manchester City merupakan satu perkara yang harus dilupakan.

Liverpool sekali lagi bolos menerusi sepakan sudut tetapi berjaya meraih kemenangan 3-2 ke atas Leicester City selepas Simon Mignolet dapat menampan sepakan penalti Jamie Vardy.

Klopp mengakui keinginan beliau untuk memperbaiki gaya permainan Liverpool ketika bertahan untuk mengubah nasib mereka bagi saingan musim ini.

"Benar, kami telah bolos banyak musim ini," kata Klopp.

"Sukar buat saya menerimanya. Tetapi saya merupakan seorang jurulatih bertahan yang baik tetapi bukan setiap masa segala-galanya berjalan seperti apa yang kami inginkan.

"Saya tidak mengetahui setiap perkara dalam bola sepak tetapi saya mampu menulis buku dalam tempoh dua jam mengenai ruang yang harus kami bertahan. Selepas ini, kami perlu meningkatkan lagi mutu permainan.

"Saya masih meletakkan harapan, bukan hanya kepada jentera serangan kami tetapi kepada keseluruhan skuad. Saya menyedari bahawa pasukan memerlukan keputusan. Kami akan bangkit mempamerkan aksi sebenar dalam perlawanan-perlawanan akan datang," katanya lagi.