LIVERPOOL 4 SOUTHAMPTON 0

Jurgen Klopp memuji transformasi skuad kendaliannya ketika merakamkan kemenangan 4-0 ke atas Southampton di Anfield.


The Reds jauh daripada aksi terbaik dalam separuh masa pertama, namun bernasib baik kerana tidak ketinggalan selepas Danny Ings, Shane Long dan Nathan Redmond gagal menyempurnakan peluang terhidang.

Ceritanya berbeza dalam separuh masa kedua, dengan Alex Oxlade-Chamberlain melegakan kebimbangan menerusi jaringan pada minit ke-47 sebelum Jordan Henderson menggandakan jaringan.

Dua lagi gol daripada Mohamed Salah menyempurnakan kemenangan ke-24 daripada 25 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Klopp, yang kini memiliki kelebihan 22 mata ke atas Manchester City, memuji persembahan Southampton dan menerima keputusan yang berbeza jika lawan menyempurnakan setiap peluang dalam separuh masa pertama.

"Pertama sekali, saya perlu mengatakan hebatnya Southampton -- pasukan yang hebat. Saya telah lama dalam arena bola sepak dan tidak pernah melihat kebangkitan ini.

"Apabila saya menyaksikan mereka beraksi di laman sendiri berdepan Chelsea beberapa bulan lalu, saya benar-benar bimbang dengan kemampuan mereka. Kebangkitan itu merupakan satu perkara yang luar biasa.

"Mereka sentiasa menghadirkan ancaman. Bertahan dengan baik dan serangan balas yang luar biasa. [Danny] Ings dan [Shane] Long, mereka mengetuai jentera serangan dan dan disokong pemain tengah dan sayap, luar biasa.

"Ia adalah punca kami bergelut dalam separuh masa pertama kerana kerap hilang bola pada waktu yang salah.

"Kami perlu melakukan beberapa pertukaran, terutama sekali penglibatan Fabinho. Kami cuba bermain dengan lebih tenang dan menggunakan Fabinho sebaik mungkin.

"Perkara paling pelik mengenai perlawanan bukanlah keputusan akhir. Apa yang aneh adalah Southampton juga mampu menang. Ia membuktikan betapa sukarnya perlawanan ini. Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan tiga mata yang diraih."

Pengendali The Saints, Ralph Hasenhuttl, gembira di atas persembahan separuh masa pertama pasukannya dan memuji kemampuan pemain-pemainnya untuk bersaing dengan pasukan juara dunia itu.

"Siapa yang menyaksikan perlawanan ini dapat melihat keberanian skuad The Saints dan mahu melihat perlawanan ini sekali lagi jika menjaringkan gol pertama," katanya.

"Saya berasakan setiap pemain mampu bersaing dengan skuad seperti Liverpool. Ia akan membuktikan kemampuan kami dan mampu melakar kemenangan."




Editor: Ammar Hakim