Jurgen Klopp menawarkan sokongannya terhadap Mauricio Pochettino selepas pengurus Tottenham itu menyatakan kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL) adalah lebih penting daripada kejayaan dalam piala domestik.

Selepas Spurs tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) dan Piala FA dalam tempoh empat hari, Pochettino mengumumkanbahawa memenangi trofi "hanya akan membina ego anda" dan penamat dalam kelompok teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) sentiasa menjadi tumpuan utamanya.

Walaupun ulasannya itu menerima kritikan beberapa pihak, Klopp 100 peratus memahami situasi rakan sejawatannya itu selepas kalah 0-2 kepada Crystal Palace dalam aksi Piala FA.

Pengurus Liverpool itu menegaskan pertandingan Eropah adalah lebih mustahak kerana ia mampu menjana pendapatan, namun penyokong melihat nilai memenangi gelaran adalah lebih besar.

Seperti Pochettino di Spurs, pengurus berbangsa Jerman itu juga masih belum menjulang sebarang trofi bersama The Reds -- kalah dalam final UCL tahun lalu berikutan kekalahan kepada Real Madrid tetapi berada dalam kelompok empat pasukan terbaik EPL dalam dua kempen terakhir.

"Saya tidak tahu berapa banyak yang kami perlukan untuk memperbaiki sebuah pasukan bola sepak," kata Klopp kepada media malam tadi.

"Kami tidak boleh mengubahnya, ia bukan satu-satunya cara untuk melakukannya tetapi ia suatu tindakan yang penting, terutama jika sesebuah pasukan sedang membangun dengan baik, maka selepas itu harga pemain tidak akan menjadi murah.

"Saya sedar bahawa ada pihak yang tidak gemar dengan apa yang dikatakan Pochettino kebelakangan ini tetapi daripada sudut pandangan kelab, kejohanan terbaik untuk dimenangi adalah EPL kerana kami berada dalam kelompok empat teratas selain memenangi gelaran utama yang lain.

"Dalam semua kejohanan yang lain, anda juga mahu memenanginya tetapi ia tidak menawarkan ganjaran kewangan untuk tahun depan. Itulah sebabnya merebut kedudukan empat teratas adalah sangat penting.

"Anda boleh bertanya kepada pemilik kelab tentang perkara itu dan mereka akan berkata, 'ya, itu amat penting'.

"Saya tahu penyokong mempunyai pandangan berbeza. Mereka inginkan kejuaraan dan jika kami memenangi gelaran tetapi setahun kemudian kami berakhir di tangga kelapan, maka tiada siapa akan menyukainya.

"Tiada siapa yang akan bercakap mengenai gelaran musim lalu dan tidak akan menawarkan anda peluang lain lagi.

"Oleh itu, saya 100 peratus memahami apa yang disampaikan oleh Pochettino tetapi di sebuah kelab seperti Liverpool, kami harus berjuang dalam setiap kejohanan. Perkara bagusnya ialah kami kembali menjadi sebuah pasukan yang mencabar kejuaraan.

"Selama beberapa tahun lalu, ia tidak seperti ini tetapi kami kembali menjadi sebuah pasukan yang digeruni tetapi pada akhirnya, amat penting berada dalam saingan UCL musim depan."