Klopp perjelas isu rehatkan Loris Karius

By Amirul Azreen 15 December 2016
Klopp perjelas isu rehatkan Loris Karius

MIDDLESBROUGH 0 LIVERPOOL 3

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, berkata bahawa dia merehatkan Loris Karius bagi melindungi dan meningkatkan moral penjaga gol itu.


Karius mempamerkan aksi hambar dalam kekalahan 4-3 kepada Bournemouth dan seri 2-2 dengan West Ham, Sabtu lalu, sekaligus memaksa Klopp untuk menurunkan Simon Mignolet dalam kemenangan 3-0 ke atas Middlesbrough.

Penjaga gol antarabangsa Belgium itu menampilkan aksi lebih meyakinkan di gawang apabila sering kali membuat tangkapan kemas.

Klopp memberitahu BBC:"Kehidupan kadang-kala tidak akan berlalu dengan baik tetapi mereka ini adalah pemain saya, jadi penting untuk saya melindungi mereka dan cuba meningkatkan moral mereka. Oleh itu, kadang-kala saya terpaksa membuat keputusan yang sukar.

"Saya tahu Loris seorang penjaga gol yang mantap tetapi dia tidak menampilkan aksi yang baik dalam perlawanan sebelum ini.

"Untuk mengadili kemampuannya ketika ini adalah tidak rasional. Perlunya ada persaingan di antara Karius dan Mignolet. Ini semua adalah demi Liverpool. Mereka berdua mempunyai perwatakan yang baik."

Liverpool membuka tirai jaringan menerusi Adam Lallana pada separuh masa pertama, sebelum membuat hantaran kepada Divock Origi untuk meledak gol kedua pada minit ke-60.

Lallana kembali menghantui gawang Victor Valdes dengan gol kedua pada minit ke-68.

Kemenangan tersebut kembali meletakkan Liverpool di tangga kedua dengan 34 mata, enam mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Klopp berkata:"Pada babak pertama, kami bermain dengan baik. Namun, pada babak kedua, aksi kami lebih mantap.

"Ada ketika di mana pemain seperti kaku pada babak pertama dan ketika itu saya agak bingung terhadap apa yang berlaku."

About Author

Amirul Azreen

Comment